Kajian ini mengkaji aktiviti menerowong dan tingkah laku anai-anai bawah tanah, Globitermes sulphurues dan Coptotermes gestroi apabila dirawat dengan empat ekstrak -tumbuhan iaitu Pyllanthus niruri, Azadirachta indica, Leucaena leucocephala dan Andrographis paniculata melalui kaedah piring petri. Tumbuh-tumbuhan telah diekstrak dengan pelarut yang berbeza (metanol, heksana dan air), dan mempunyai tiga kepekatan (500, 5,000 dan 10,000 ppm). Seramai 50 ekor pekerja dan 2 ekor askar anai-anai telah digunakan untuk ujikaji dan setiap hari, mereka diperhatikan sepanjang ujian dijalankan untuk menilai ‘kemandirian anai-anai dan tingkah laku mereka. Selepas 7 hari, kedua-dua bahagian telah dinilai untuk menentukan aktiviti terowong mereka. Ujian Kruskal Walis H menunjukkan bahawa aktiviti menerowong daripada C. gestroi adalah berbeza antara satu sama lain apabila dirawat dengan tumbuhan yang telah diekstrak oleh pelarut yang berbeza, X2 (2) = 31.790, p <0.0001, dengan pangkat min 8.50 untuk ekstrak tumbuhan metanol dan 32.50 untuk ekstrak tumbuhan heksana dan air. Sementara itu, G. sulphureus tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dalam aktiviti terowong pada pasir terawat, X2 (2) = 2.200, p = 0.333 dengan pangkat purata 20.72 untuk ekstrak tumbuhan metanol, 26.31 untuk ekstrak tumbuhan air dan 26.47 untuk ekstrak tumbuhan heksana. Hasil kajian menunjukkan bahawa semua tumbuhan yang diekstrak dengan metanol menunjukkan ciri-ciri mengusir yang kuat dengan 0 aktiviti terowong pada pasir terawat dan survivorship anai-anai yang rendah. Selain itu, 0% survivorship telah dilihat apabila kedua-dua spesis anai-anai dirawat dengan ekstrak tumbuhan metanol pada 10,000 ppm. Kedua-dua spesis anai-anai ini menunjukkan tingkah laku yang berbeza selepas tamat ujikaji seperti kelakuan mengelak, kehilangan keupayaan untuk berjalan secara perlahan dan makan dalam kuantiti yang sedikit. Hasil kajian ini berjaya membuktikan bahawa tumbuhan yang diekstrak dengan metanol mempunyai aktiviti racun anai-anai yang tinggi terhadap Coptotermes gestroi dan Globitermes sulphureus.