Satu tinjauan mengenai komposisi spesies anai-anai telah dijalankan di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam, Sarawak pada bulan Februari 2015. Secara keseluruhannya, 19 spesies anai-anai daripada 13 genera dan 8 subfamili ditemui di kawasan perlindungan ini. Subfamili Termitinae direkodkan mempunyai bilangan spesies tertinggi (6 spesies, sama dengan 31.58% daripada jumlah spesies), diikuti oleh Nasutermitinae (3 spesies, 15.79%), Macrotermitinae, Amitermitinae, Rhinotermitinae, Coptotermitinae, (2 spesies, 10.53 % masing-masing), dan Heterotermitinae, Termitogetoninae (1 spesies, 5.26% masing-masing). Oleh kerana kajian pantas ini adalah mewakili pengumpulan awal anai-anai di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam, keputusan awal dapat berfungsi sebagai data dasar untuk komposisi anai-anai di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, satu liputan menyeluruh untuk kawasan di dalam tempat perlindungan ini sudah pasti akan meningkatkan bilangan spesies anai-anai yang terdapat di kawasan perlindungan ini.