Probiotik ialah mikroorganisma hidup yang boleh didapati dalam makanan fermentasi dan susu kultur, dan digunakan secara meluas dalam penyediaan makanan bayi. Probiotik dikenali sebagai “bakteria baik” yang memiliki pelbagai manfaat untuk kesihatan seperti pencegahan penyakit usus, peningkatan sistem imun, intoleransi laktosa dan keseimbangan mikrob usus, menunjukkan kesan antihiperkolesterolemik dan antihipertensi, meredakan gangguan menopaus, dan mengurangkan cirit-birit pengembara. Kajian baru-baru ini juga telah memberi tumpuan kepada kegunaan probiotik dalam merawati penyakit kulit dan mulut. Di samping itu, modulasi paksi gut-otak dengan probiotik telah dicadangkan sebagai penyelesaian terapeutik baru bagi gejala kebimbangan dan kemurungan. Oleh itu, kajian ini membincangkan mengenai produk-produk semasa yang mengandungi probiotik di Malaysia, kriteria pemilihan probiotik, dan bukti-bukti yang diperolehi daripada kajian lepas tentang bagaimana probiotik telah digunakan untuk mencegah gangguan usus melalui peningkatan sistem imun, bertindak sebagai faktor antihiperkolesterolemik, meningkatkan kesihatan mulut dan kulit, dan berperanan sebagai ejen anti-kebimbangan dan anti-kemurungan.