Fasciolosis merupakan penyakit bawaan air dan makanan yang disebabkan oleh fluk hati Fasciola hepatica dan Fasciola gigantica. Penyakit ini menular di pelbagai bahagian di dunia ini. Siput Lymnaeidae and Planorbidae ialah perumah perantara bagi fluk ini. Pengurusan populasi siput menjadi kaedah terbaik bagi mengawal fasciolosis kerana gastropod merupakan rantaian yang paling lemah dalam kitaran hayat trematod. Klorofil boleh diekstrak dari sebarang tanaman hijau. Klorofilin disediakan daripada bayam dalam etanol 100% dengan menggunakan pelbagai jenis bahan kimia yang berbeza. Klorofil yang diperoleh daripada bayam bertukar menjadi klorofilin larut air. Dalam kajian yang dijalankan ini, ketoksikan klorofilin bagi menghapuskan siput Lymnaea acuminata bergantung kepada masa dan kepekatan. Ketoksikan klorofilin yang diekstrak dan yang tulen di bawah cahaya matahari secara berterusan selama 4 jam adalah tinggi dengan kepekatan maut (LC50) 331.01 mg/L dan 2.60 mg/L, masing-masing, berbanding dengan pendedahan kepada cahaya matahari selama 8 jam yang bukan secara berterusan dengan LC50 357.04 mg/L dan 4.94 mg/L, masing-masing. Ketoksikan klorofilin yang diesktrak dapat diketahui dengan kehadiran cahaya nampak monokromatik yang berbeza. Ketoksikan yang paling tinggi didapati dalam cahaya kuning (96 jam, LC50 392.77 mg/L) dan yang paling rendah dalam cahaya hijau (96 jam, LC50 833.02 mg/L). Kewujudan klorofilin dalam kombinasi dengan radiasi solar atau cahaya nampak monokromatik yang berbeza panjang gelombangnya mungkin menjadi satu penawar pendam bagi menghapuskan siput L. acuminata. Klorofilin terbukti lebih toksik dalam kehadiran cahaya matahari. Klorofilin adalah selamat dari segi ekologi dan lebih berekonomi berbanding molusisid sintetik yang berpotensi mengawal insiden fasciolosis di negara-negara membangun.