Unit pengeluar biji benih sawit yang menghasilkan biji benih cambah sawit merupakan penghubung pertama dalam rantaian bekalan minyak sawit, diikuti dengan tapak semaian untuk menghasilkan anak benih sawit, ladang untuk menghasilkan buah tandan segar (FFB), kilang untuk menghasilkan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung kelapa sawit, mesin penghancur isirung untuk menghasilkan minyak isirung kelapa sawit mentah (CPKO), kilang minyak tertapis untuk menghasilkan minyak sawit tertapis (RPO) dan diikuti dengan kilang biodiesel untuk menghasilkan biodiesel berasaskan sawit. Penilaian ini bertujuan untuk mengenalpasti kitaran hayat (LCA) bagi penghasilan biji benih cambah sawit serta untuk menentukan peringkat pemprosesan bagi penghasilan biji benih cambah sawit yang boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kaedah bagi penilaian impak kitaran hayat (LCIA) bagi kajian ini telah dimodelkan menggunakan SimaPro versi 7, (System for Integrated environMental Assessment of PROducts), iaitu satu alat yang telah diperkenalkan pada peringkat antarabangsa untuk digunakan oleh para pengguna LCA. Perisian ini mengandungi pangkalan data Eropah dan Amerika Syarikat mengenai beberapa bahan di samping pelbagai kaedah penilaian impak yang telah dibangunkan oleh Eropah dan Amerika Syarikat. LCA telah berjaya dijalankan bagi lima unit pengeluar biji benih cambah sawit dan telah didapati bahawa impak terhadap persekitaran bagi penghasilan biji benih cambah sawit adalah tidak signifikan. Keputusan pencirian (characterised) LCIA bagi penghasilan 1000 biji benih cambah sawit menunjukkan bahawa bahan api fosil merupakan penyumbang kategori impak yang terbesar, diikuti dengan inorganik respiratori dan perubahan iklim.