Asid lemak adalah penting untuk kesihatan manusia dan berguna dalam analisis jaringan makanan marin, namun demikian maklumat tentang organisma pelagik tropikal adalah kurang. Enam spesies ikan pelagik kecil zooplanktivorous (Decapterus kurroides, Decapterus macarellus, Selar crumenophthalmus, Sardinella lemuru, Spratilloides gracilis dan Stolephorus insularis) dan empat mangsa krustasia zooplanktonik ikan tersebut [tiga spesies sergestoid (Acetes erythraeus, Acetes intermedius dan Lucifer penicillifer) dan satu spesies kopepoda kalonoid (Acartia erythraea)] telah dikumpul dari Laut Mindanao, dan kandungan asid lemak haiwan-haiwan tersebut telah diprofil. Profil-profil yang terhasil menunjukkan 17 asid lemak yang spesifik kepada spesies tertentu dan 9 {asid miristik [C14:0], asid palmitik [C16:0], asid stearik [C18:0]; asid palmitoleik [C16:1], asid oleik [C18:1n9c], asid linoleik [C18:2n6c], asid linolenik [C18:3n3], asid eikosapentaenoik (EPA) [C20:5n3] dan asid dokosaheksaenoik (DHA) [C22:6n3]} yang am bagi semua spesies. Analisis kluster dan penskalaan multidimensi bukan-metrik (NMDS) asid lemak telah menunjukkan persamaan yang tinggi dalam profil semua spesies, tetapi kluster yang berasingan telah diperoleh untuk ikan dan zooplankton. Jumlah kandungan n-3 asid lemak spesies makerel (D. macarellus, D. kurroides dan S. crumenophthalmus) menyamai pemangsa Acetes. Kopepoda A. erythraea dan sergestoid L. penicillifer telah menunjukkan nilai nisbah EPA:DHA yang paling rendah, yang besar kemungkinan akibat tabiat pemakanan phytoplanktivorous mereka, namun demikian nilai tertinggi nisbah tersebut dalam Acetes mencadangkan kemasukan detritus tumbuhan dalam diet mereka. Nilai DHA seakan mengesahkan pautan trofik antara kopepoda, Acetes dan spesies makerel.