Kajian kepelbagaian dan kumpulan pemakanan burung di tiga habitat berbeza (hutan sekunder, kelapa sawit dan sawah padi) telah dijalankan di kawasan riparian Lembangan Sungai Kerian, Perak, Malaysia. Tinjauan melalui kaedah point-count dan pemasangan jaring kabut (mist-netting) telah digunakan untuk menentukan kepelbagaian burung dan kelimpahannya. Sebanyak 132 spesies burung daripada 46 famili telah direkodkan di 3 habitat tersebut. Kepelbagaian spesies diukur melalui indeks kepelbagaian Shannon’s dengan catatan masing-masing sebanyak 3.561, 3.183 dan 1.042 di hutan sekunder, sawah padi dan kelapa sawit. Kepelbagaian tumbuhan dan struktur habitat merupakan penentu utama kehadiran bilangan spesies burung di sesuatu kawasan. Kelimpahan relatif kumpulan pemakanan insektivor, insektivor-frugivor dan frugivor adalah lebih banyak di kawasan hutan berbanding di kawasan penanaman monokultur. Sebaliknya, kelimpahan relatif kumpulan pemakanan karnivor, grainivor dan omnivor adalah tinggi di kawasan penanaman. Hasil kajian menunjukkan, perubahan kawasan hutan kepada kawasan kelapa sawit atau sawah padi menghasilkan penurunan spesies burung dan perubahan taburan kumpulan pemakanan burung.