Suatu kajian tentang herpetofauna telah dilakukan secara penilaian pantas di Lembah Beris, Kedah, Malaysia semasa ekspedisi saintifik yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia bermula pada 14–17 Ogos 2009. Selama empat hari, kesemua amfibia dan reptilia telah ditinjau dan ditangkap disekitar parit, jalan raya, kawasan empangan, paya, denai hutan dan sungai. Keputusan menunjukkan sebanyak 14 spesies amfibia daripada 9 genus dan 5 famili mendiami kawasan tersebut. Di samping itu sebanyak tujuh spesies cicak, lima spesies ular dan dua spesies kura-kura air tawar turut mendiami kawasan tersebut. Dua spesies amfibia iaitu Fejervarya limnocharis dan Microhyla butleri dan dua spesies reptilia iaitu Hemidactylus frenatus dan Varanus salvator merupakan spesies amfibia dan reptilia yang biasa dan kerap ditemui di kawasan ini. Laporan ini adalah senarai awal dan merupakan laporan pertama tentang kepelbagaian amfibia dan reptilia di Lembah Beris, Kedah. Jumlah spesimen yang diperolehi daripada kajian ini adalah lebih rendah daripada jangkaan kerana tempoh kajian yang amat singkat dan diharapkan lebih banyak spesimen dapat direkodkan pada masa yang akan datang.