Strombus canarium Linnaeus, 1758 merupakan antara sumber perikanan gastropoda paling utama di perairan Selat Johor, Malaysia. Dalam kajian ini, persampelan dilakukan secara rawak menggunakan kaedah jalur transek, bermula dari Januari hingga Disember 2005. Data panjang cangkerang dibahagikan mengikut jantina dan panjang, dengan sela-kelas 2 mm. Secara keseluruhannya, nisbah jantan kepada betina adalah pada kadar 1:1.73, yang tidak berbeza secara signifikan berbanding nisbah yang dijangka iaitu 1:1 (P > 0.05). Struktur populasi dianalisis menggunakan kaedah 'Length-based Fish Stock Assessment' (LFSA) yang terdapat dalam perisian FiSAT (FAO-ICLARM Stock Assessment Tools). Taburan panjang-berat bulanan kedua-dua subpopulasi siput jantan dan betina bersifat polimodal. Populasi juga didapati menunjukkan ciri-ciri dwimorfisma jantina. Parameter tumbesaran spesifik bagi setiap kohot menunjukkan nilai panjang 'asimptotik' (L∞) dan pemalar tumbesaran (K) yang lebih tinggi bagi siput betina berbanding siput jantan. Nilai min L∞ adalah 62.90 ± 3.68 mm bagi jantan dan 69.73 ± 0.80 mm bagi betina, sementara nilai min K adalah 1.10 ± 0.15/thn bagi jantan dan 1.40 ± 0.10/thn bagi betina. Kadar tumbesaran yang tinggi dan masa bagi mencapai saiz pasaran yang cepat, ditambah dengan keupayaan untuk membiak sepanjang tahun menjadikan siput ini berpotensi besar bagi aktiviti akuakultur. Walau bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan dalam menilai kadar tumbesaran sebenar, serta beberapa parameter lain yang penting bagi sesuatu spesies sebelum sebarang tindakan pengkomersialan dapat dilakukan.