Kajian ini dijalankan bagi menentukan kebolehan cacing tanah Eisenia foetida menukar empat jenis sisa organik kepada vermikas pada persekitaran semula jadi Malaysia. Eksperimen dilakukan di rumah cacing dengan suhu persekitaran di antara 26°C–33°C dan kelembapan bandingan sekitar 65%–80%. Kandungan air bahan mentah organik adalah sekitar 71.0%–95.2%. Kandungan air paling tinggi bagi substrat ialah pada carikan batang pisang (95.2%), diikuti oleh sisa kafeteria (91.0%), carikan surat khabar (76.3%) dan najis lembu (71.0%). pHKCl dan pHH2O sisa kafeteria meningkat masing-masing sebanyak 86.3% dan 90.2% selepas rawatan vermikultur. Peningkatan pH paling tinggi sebanyak 86.3% berlaku pada bahan mentah berasid (4.16). Hanya sedikit peningkatan atau penurunan (iaitu di antara 6.7%–17.2%) berlaku apabila substrat bersifat sedikit alkali (7.40–7.86). Tanpa mengira jenis dan pH awal bahan mentah, vermikas yang terhasil oleh vermikultur menunjukkan nilai pH yang berbeza, bersifat hampir neutral atau lebih alkali (6.49–8.35). Secara am, peningkatan eksponensial tumbesaran cacing tanah dalam semua jenis sisa organik yang dikaji berlaku sehingga hari kelima proses vermikompos dan menurun selepas itu. Corak tumbesaran adalah serupa dalam kesemua jenis sisa organik. Penambahan berat cacing berlaku sebaik sahaja selepas cacing diinokulasi ke dalam media. Cacing tanah yang hidup dalam sisa kafeteria menunjukkan tumbesaran paling tinggi diikuti oleh najis lembu, carikan batang pisang dan carikan surat khabar. Sisa kafeteria juga didapati paling cepat tertukar sepenuhnya kepada vermikas. Bahan mentah tertukar sepenuhnya kepada vermikas dalam masa 36.2 ± 1.3 hari untuk sisa kafeteria, 43.8 ± 1.14 hari untuk carikan batang pisang, 47.4 ± 0.84 hari untuk carikan surat khabar dan 58.2 ± 0.84 hari untuk najis lembu. Penghasilan vermikas ialah 41% berat badan cacing per hari untuk sisa kafeteria, diikuti 34% untuk carikan batang pisang, 32% untuk carikan surat khabar dan 26% untuk najis lembu. Dalam keadaan persekitaran semula jadi di Malaysia, kebolehan E. foetida menukar sisa organik kepada vermikas berbeza bagi jenis dan kualiti substrat yang digunakan. Peningkatan pertumbuhan E. foetida adalah selari dengan kadar pertukaran sisa buangan kepada vermikas, iaitu peningkatan pertumbuhan mempercepatkan penukaran sisa buangan kepada vermikas.