Taburan ruang kutu psyllid Diaphorina citri (Homoptera: Psyllidae) pada pokok limau dan bunga melur yang telah dianalisis menggunakan pendekatan indeks matematik model taburan dan regresi menunjukkan taburan berkelompok. Hukum kuasa Taylor dan model regresi Iwao sangat sesuai dengan kesemua set data, manakala model regresi k = c + dm [k = m2/(s2 – m)] didapati tidak memadai bagi perkelompokan psyllid limau kerana k tidak stabil dan bergantung kepada kepadatan kutu psyllid. Pada amnya, hukum kuasa Taylor lebih sesuai dengan data, memberi nilai R2 yang lebih tinggi berbanding model Iwao bagi kesemua kes, sama ada bagi limau sahaja, bunga melur sahaja atau gabungan kedua-duanya. Populasi D. citri pada kuadran pokok, iaitu utara, barat, selatan dan timur, didapati tidak berbeza secara signifikan. Sungguhpun begitu, taburan di antara sudur setengah atas dan bawah didapati berbeza secara signifikan di mana sudur setengah atas dinaungi lebih banyak psyllid daripada setengah bawah.