Kuala Sg. Jarum Mas, Kuala Sepetang, muara sungai di Perak dan Kuala Juru di Pulau Pinang telah dikenal pasti sebagai kawasan utama penghasilan kerang dibawah program Perseimbangan Dagangan (BOT) bagi kerang-kerangan. Oleh sebab penilaian bakteriologi terhadap kerang dari Kuala Sepetang dan Kuala Sg. Jarum Mas belum pernah dijalankan, kajian ini dimulakan bagi membuat perbandingan antara kualiti bakteriologi dari kawasan ini dengan kerang dari Kuala Juru yang telah banyak dikaji. Kerang telah dipungut pada bulan Februari, April dan Jun 2004 dan diuji bagi hitungan plat standard (SPC), koliform total (TC), koliform najis (FC), Escherichia coli (EC) dan kehadiran patogen (Salmonella spp., Vibrio cholerae dan Vibrio paraheamolyticus). Pengambilan sampel dan analisis telah dijalankan menurut kaedah mikrobiologi standard. Keputusan menunjukkan bahawa kerang dari Kuala Juru dan Kuala Sepetang melebihi had keselamatan bagi SPC (5 × 105 CFU/g), FC (< 300 MPN/100 g) dan EC counts (< 230 MPN/100 g) sementara keputusan dari Kuala Sg. Jarum Mas adalah jauh rendah daripada had keselamatan bagi parameter yang sama. Analisis statistik menunjukkan perbezaan yang signifikan (p < 0.05) bagi SPC di ketiga-tiga buah kawasan. Sementara itu, perbezaan signifikan diperhatikan pada hitungan TC, FC dan EC antara Kuala Juru dengan Kuala Sepetang dan Kuala Sg. Jarum Mas (p < 0.05). Vibrio parahaemolyticus didapati hadir dalam sampel dari semua kawasan yang diuji manakala V. cholerae hanya terdapat dalam kerang dari Kuala Juru pada bulan Februari. Kehadiran Salmonella dalam sampel dari Kuala Juru dan Kuala Sepetang menunjukkan bahawa sample tersebut tidak memenuhi saranan had keselamatan. Keputusan kajian ini menyarankan agar kerang yang dipungut dari Kuala Juru dan Kuala Sepetang melalui dekontaminasi sebelum pemasaran dan penggunaan seterusnya.