Kajian telah dijalankan untuk menentukan kedudukan antigen M1 serta faktor yang mempengaruhi pengekspresan terhadap sperma hamster yang telah mengalami tindak balas akrosom secara fisiologi dan bukan fisiologi dengan mengaitkan keputusan pemerhatian melalui mikroskop cahaya dan elektron. Kaedah kajian melibatkan penyediaan sperma hamster dengan akrosom dan tanpa akrosom atau telah mengalami tindak balas akrosom. Dalam penyediaan sampel sperma, setiap sampel perlakuan menjalani kaedah pewarnaan imunopendarfluor dan pelabelan imunoemas secara selari. Sperma tanpa akrosom atau telah mengalami tindak balas akrosom masing-masing disediakan melalui prosedur mekanik (sonikasi), fisiologi (eraman dalam medium yang sesuai untuk tindak balas akrosom spontan) dan kimia (eraman dalam kalsium ionofor); manakala sperma dengan akrosom tidak diperlaku sebarang prosedur. Keputusan kajian menunjukkan antigen M1 yang merupakan molekul protein yang terlibat dalam pelakuran sperma-oosit berada di bahagian dalam segmen khatulistiwa, dan pengekspresannya bergantung pada kehadiran Ca2+ dan tindak balas akrosom.