Setakat ini, mekanisme genetik yang lengkap tentang kemajuan adenoma kepada karsinoma dalam karsinoma usus besar masih belum diketahui. Demi memperoleh maklumat genetik tentang lintasan karsinogenesis ini, kami menggunakan kaedah pencarian gen yang diekspres secara berbeza dalam tumor karsinoma usus besar. Profil pengekspresan gen daripada kes karsinoma usus besar dikaji menggunakan sistem DNA Microarray. Kami melaporkan pengawalaturan tinggi dan rendah untuk 819 dan 98 gen masing-masing dalam tumor relatif kepada kawalan normal berkenaan. Corak pengekspresan berbeza dalam 121 gen adalah kekal dalam semua tumor yang dikaji. Tiga puluh tiga daripada gen-gen ini adalah gen protein ribosom (RP). Perbandingan data dengan pangkalan data pengekspresan gen domain awam (Cancer Gene Expression Database, CGED) menunjukkan 47 gen pengekspresan berbeza adalah konsisten. Dua puluh dua daripada gen-gen ini adalah gen RP. Antara semua gen RP yang dikenal pasti dalam kajian ini, corak pengekspresan untuk enam gen adalah selaras dengan sorotan kajian. Pengekspresan tinggi gen RP L32 dilaporkan buat pertama kali dalam kajian ini dan telah disahkan melalui penganalisaan RT-PCR. Gen-gen yang tidak berkaitan dengan RP tetapi penting untuk dipertimbang adalah gen tumour susceptibility (TSG101) dan 20-kDa myosin light chain (MLC-2). Walaupun penganalisaan microarray kami berdasarkan saiz sampel kecil (n = 2), kajian awal ini mengenal pasti banyak gen yang dikaitkan dengan konteks pembentukan dan kemajuan karsinoma usus besar buat pertama kali. Maka, penemuan kami membekalkan maklumat baru untuk kejadian genetik dalam proses karsinoma usus besar.